Showing posts with label news. Show all posts
Showing posts with label news. Show all posts

Saturday, June 20, 2009

saman 80 juta

Peneroka saman Felda lebih RM80j

JOHOR BAHRU 12 Jun - Sekumpulan 645 peneroka Gugusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Maokil, Labis, dekat sini hari ini memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.

Para peneroka terbabit mengemukakan saman itu atas dakwaan Felda melakukan manipulasi gred sawit, sistem penolakan buah muda dan sistem pengambilan untung daripada minyak busuk yang menyebabkan mereka mengalami kerugian selama 17 tahun.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Wan Rohimi & Asmadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman tersebut, sebanyak 645 peneroka Felda kawasan itu selaku pihak plaintif menamakan Felda defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. defendan kedua.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili pihak plaintif berkata, saman itu dikemukakan berasaskan dakwaan penipuan, kecuaian dan konspirasi bagi menipu peneroka yang dilakukan oleh pihak defendan.

Pihak plaintif antara lain menuntut ganti rugi khas atas kerugian pendapatan berjumlah RM71,842,680 dan ganti rugi khas akibat kerugian nilai buah atau tandan muda.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teladan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan tuntutan yang dibuat dan faedah lapan peratus mulai tarikh writ saman difailkan.


utusan.com


Saturday, January 17, 2009

kepala babi dalam rumah Allah


Kuala Lumpur, 16 Jan - Surau Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya gempar pagi ini apabila kepala seekor babi beserta bendera Pas dengan tulisan ‘PMI, PRO M, PAS’ dijumpai di dalam surau tersebut.

Kepala haiwan tersebut dianggarkan diletakkan oleh kumpulan yang tidak dikenali kira-kira pukul 5.00 pagi iaitu sebelum Subuh.

Menurut jurucakap Pro Mahasiswa, saudara Shahir Abdul Aziz, beliau hairan sambil menimbulkan tanda tanya tentang kejadian ini apabila kepala babi berserta bendera Pas tersebut diletakkan di surau Akademi Pengajian Islam.

“Saya yakin ada pihak yang ingin menyatakan protes terhadap Pro Mahasiswa dan PMI (Persatuan Mahasiswa Islam).

Selain itu, timbul persoalan kenapa kejadian begini berlaku dalam musim PRK sekarang, malah surau Akademi Pengajian Islam menjadi tumpuan?,”ujar beliau sambil mengajukan tanda tanya.

Selain itu, presiden Pro Mahasiswa Nasional merangkap Pro Mahasiswa Universiti Malaya, saudara Norazali Zainuddin menyatakan kejadian ini mungkin disebabkan beberapa pihak yang tidak puas hati dengan tindakan Pro Mahasiswa dalam menyatakan pendirian dan pendedahan isu termasuk rasuah dan penyalahgunaan wang dalam politik kampus.

“Saya yakin ada pihak yang rasa terkesan dan seperti mahu menutup mulut kami dalam menyatakan pendirian kami terhadap rasuah dan penyalahgunaan wang yang berleluasa dalam PRK sekarang,”ujar beliau.

Pilihanraya kampus kali disifatkan sebagai yang paling teruk dalam sejarah demokrasi kampus apabila berleluasanya politik wang dan penyalahgunaan kuasa oleh beberapa pihak dalam memenangi pilihanraya.

Isu rasuah TNC HEP yang dibawa oleh Pro Mahasiswa mendapat liputan dan respon panas dari pelbagai pihak. Ekoran dari isu ini, markas Pro Mahasiswa digeledah oleh pihak polis tanpa waran geledah dan kamputer riba diambil. Malah pagi ini, kejadian kepala babi dijumpai di surau API menimbulkan tanda tanya.

Pihak polis masih meneruskan penyiasatan atas kes ini.

http://mahasiswakini.com