بسم الله الرحمن الرحيم
Fikiran ku tidak tenang. Mengenangkan seseorang yang amat rapat denganku. Jiwaku resah. Saat ini, aku mohon pada Allah agar menjaganya dengan sebaiknya, semoga dia dalam rahmat dan lindungan Allah sentiasa.
Namun, aku sedar inilah kehidupan. Dunia, tempat persinggahan sementara buat hambaNya. Macam R & R. Ujian yang Allah turunkan adalah sebagai kaffarah dosa-dosa kita yang telah lalu. Atau pun, untuk menaikkan darjat hambaNya. Sebagai hamba, kita sepatutnya bersyukur dan merasa bertuah kerana Allah telah memilih antara berjuta hambaNya untuk diberikan ujian. Allah masih sayang pada kita.
Kadang, ujian itu lebih kepada menguji perasaan. Tak dinafikan, bila melibatkan hati dan perasaan, manusia akan mudah terdeviate dan terlalu mengikut emosi mereka. Namun, disitulah perlunya mujahadah, untuk kekal bertahan. Menangkis segala persepsi negatif dan sikap berburuk sangka.Tak boleh lupa pada hakikat asal matlamat hidup kita di dunia.
Mengimbas kembali sejarah,
Setelah Rasulullah menetap di Madinah, biarpun Baginda sibuk dengan urusan negara, Rasulullah tidak pernah lupa tanggungjawab pada keluarga. Tambahan pula, anak lelaki yang ditunggu-tunggu selama ini baru sahaja lahir, Ibrahim namanya. Rasulullah sangat menyayangi Ibrahim. Beliau adalah satu-satunya anak lelaki yang masih tinggal selepas putera baginda yang lain meninggal dunia iaitu Qasim dan Abdullah yang juga digelar at-Tahir. Qasim dan Abdullah menghembuskan nafas terakhir dalam pangkuan isterinya, Khadijah. Kemudian Khadijah, isteri yang dicintainya pula pergi meninggalkan baginda setelah Abu Talib, bapa saudara baginda.
Apabila Ibrahim lahir ke dunia, jiwa yang dalam kesedihan itu membungakan rasa gembira yang berkembang mekar. Hilang segala kepedihan dan kesedihan yang bersarang di hati. Terubat juga segala hirisan pilu yang tajam. Baginda menumpahkan kasih sayang pada Ibrahim. Namun, harapan itu tidak lama. Ibrahim tiba-tiba sakit dan ia sangat membimbangkan Rasulullah.
Semasa Rasulullah dalam satu majlis di masjid, datang pembawa khabar memberitahu Ibrahim sedang nazak. Rasulullah sangat sedih sehingga semasa ingin pulang ke rumah, sahabat baginda, Abdul Rahman bin Auf terpaksa memapah baginda yang dalam kesedihan.
Apabila tiba sahaja di rumah, dilihatnya Ibrahim sedang menarik nafas yang sangat dalam dan panjang sekali. Didakapnya anak kecil itu, lalu diletakkan di pangkuan baginda dengan rasa hiba. Tangannya menggeletar menahan kesedihan.Akhirnya, kepiluan yang ditahan-tahan terpancar juga pada lelehan air mata yang mengalir lesu di pipi baginda.
Ditatapnya wajah anak kecil itu yang sesekali menarik nafas panjang sambil berkata, "Wahai Ibrahim, kami tidak dapat menolongmu daripada ketentuan Tuhan."
Suasana menjadi hening menyaksikan kesedihan yang menusuk jiwa orang yang hadir. Masing-masing turut rasa simpati. Air mata mereka juga tidak dapat disekat. Akhirnya tubuh kecil yang bertarung dengan kepedihan saat tercabut nyawa dari badan itu meninggalkan kelukaan dan kepedihan hati seluruh isi alam. Memadamkan sebuah harapan.
Rasulullah dalam nada sedih berkata, " Mata boleh bercucuran, hati dapat merasa duka, kami hanya berkata apa yang Tuhan tetapkan dan sesungguhnya, wahai Ibrahim, kami sungguh sedih padamu."
Rasulullah menjawab, "Saya tidak melarang orang berdukacita, tetapi yang saya larang adalah orang yang menangis dengan suara yang keras. Apa yang saudara semua lihat pada saya sekarang ini hanyalah kesan cinta dan kasih dalam hati. Orang yang tidak punya kasih sayang, orang lain juga tiada kasih padanya."
Akhirnya, Ibrahim, anak kecil yang comel baru berusia 7 bulan itu menghembuskan nafas terakhirnya dalam kepayahan di atas pangkuan ayahnya yang sedang bertarung dengan perasaan sedih dan pilu yang mencengkam hati.
Selepas Ibrahim dimandikan, jenazahnya di bawa ke tanah perkuburan Baqi' iaitu tempat pejuang Islam yang mati syahid dalam peperangan Badar. Di sana Ibrahim disemadikan selepas disembahyangkan oleh ayah baginda dan para hadirin yang lain.
Apabila selesai, Rasulullah kemudiannya meratakan tanah dengan tangan baginda sendiri, menyiramkan air dan membuatkan tanda di atas pusara Ibrahim itu sambil berkata, "Perbuatan ini tidak membawa kerugian dan keuntungan , tetapi hanya akan menyenangkan orang yang masih hidup. Apabila mereka mengerjakan sesuatu, Tuhan lebih suka ia dikerjakan secara sempurna."
Semua manusia mempunyai perasaan sedih dan dukacita. Namun, kesedihan dan dukacita itu janganlah sampai menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Rasulullah juga ada masanya untuk baginda bersedih. Tabahnya Rasulullah, selepas seorang demi seorang, orang yang Baginda sayangi meninggalkan baginda. Namun, itu semua tidak pernah mematahkan perjuangannya mendaulatkan islam.
Kita juga seharusnya mengawal emosi dalam setiap perkara yang berlaku. Kita mungkin juga kehilangan orang yang kita sayangi, orang yang mungkin paling rapat atau 'soulmate' kita..namun, sebagai seorang muslim dan daie, tidak atau tidak, kita harus muhasabah atas setiap ujian yang terjadi. Jadikan ia sebagai pemangkin untuk kita lebih dekat, lebih cinta pada Maha Pencipta. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik tempat kembali.
"Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu ke arah kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka,[sbg] bunga kehidupan dunia,agar Kami uji mereka dgn [kesenangan] itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal." {taha:131}
1 comment:
salam..sekadar menimbulkan persoalan yg bermain sbg seorang yang lemah imannya... ketika mana kita melihat org lain mgkn kita mampu bersabar akn sesuatu ketentuan..namun sering kali bila mana kita sendiri menghadapinya,agk sukar utk bersabar dan menerima dan seolahnya terbisik dihati.."kau mana tahu,sbb aku yang hadapinya"...
Post a Comment