cerpen ini bukan saya karang,
dan saya tidak tahu sama ada ianya kisah benar atau cerpen semata-mata,
walau bagaimanapun, ia sangat menyentuh hati saya..
adakah saya mampu untuk tegar sepertinya?
okey, selamat membaca^_^
"Insan berkasih kerana Allah
Bertemu, berpisah kerana cintaNya""Bagiku, kasih dan redha suami padaku
itu yang penting, bukan
kasihnya pada orang lain. Selagi aku
tahu, kasihnya masih utuh
buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku
yakin, ketaatan, kesetiaan
dan kasih sayang yang tidak berbelah
bahagi kepadanya itulah kunci
kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku
terhenti dalam keadaan redhanya
padaku, supaya nanti Allah jua meredhai
aku."
Kesatlah air matamu,wahai wanita.
"Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."
Bait-bait kata itu aku tatapi
dalam-dalam. Penuh penghayatan.
Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah
majalah yang ku baca. Alangkah
indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan
dunia seperti yang dikatakan
itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku
ingin menjadi seorang gadis
yang sopan, anak yang taat kepada ibu
bapaku dan aku jua ingin
menjadi seorang isteri yang menyerahkan
kasih sayang, kesetiaan dan
ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.
Menjadi seorang isteri....kepada insan
yang disayangi.....idaman
setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran
aku panjatkan ke hadrat
Ilahi atas nikmat yang dikurniakan
kepadaku. Baru petang tadi, aku
sah menjadi seorang isteri setelah
mengikat tali pertunangan 6 bulan
yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris,
alhamdulillah menepati ciri-ciri
seorang muslim yang baik. Aku berazam
untuk menjadi isteri yang
sebaik mungkin kepadanya.
"Assalamualaikum," satu suara menyapa
pendengaranku membuatkan aku gugup
seketika. "Waalaikumusalam," jawabku
sepatah. Serentak dengan itu, ku
lontarkan satu senyuman paling ikhlas
dan paling manis untuk suamiku.
Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.
"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas
abang cari Ain dekat luar
tadi. Rupanya kat sini buah hati abang
ni bersembunyi. `' Aku
tersenyum mendengar bicaranya. Terasa
panas pipiku ini. Inilah kali
pertama aku mendengar ucapan `abang'
dari bibirnya. Dan itulah juga
pertama kali dia membahasakan diriku ini
sebagai `buah hati' nya. Aku
sungguh senang mendengar ucapan itu.
Perlahan-lahan ku dongakkan
wajahku dan aku memberanikan diri
menatap pandangan matanya. Betapa
murninya sinaran cinta yang terpancar
dari matanya, betapa indahnya
senyumannya, dan betapa bermaknanya
renungannya itu. Aku tenggelam
dalam renungannya, seolah-olah hanya
kami berdua di dunia ini.
Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata.
"Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun
dah masuk Maghrib
kan ? `' ujarku.
`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu.
Nanti abang mandi dan kita
solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia
tersenyum lagi. Senyum yang
menggugah hati kewanitaanku. Alangkah
beruntungnya aku memilikimu,
suamiku.
Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia
berpusing mengadapku.
Dengan penuh kasih, kusalami dan kucium
tangannya. Lama. Aku ingin
dia tahu betapa dalam kasih ini hanya
untuknya. Dan aku dapat merasai
tangannya yang gagah itu mengusap
kepalaku dengan lembut. Dengan
perlahan aku menatap wajahnya.
"Abang....." aku terdiam seketika.
Terasa segan menyebut
kalimah itu dihadapannya. Tangan kami
masih lagi saling berpautan.
Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat
terasa genggamannya.
"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun
satu kalimah, amat
menyentuh perasaanku.
"Abang... terima kasih atas kesudian
abang memilih Ain sebagai
isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain
insan yang lemah, masih
perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain
harap abang sudi pandu Ain.
Sama-sama kita melangkah hidup baru,
menuju keredhaan Allah." Tutur
bicaraku ku susun satu persatu.
`'Ain, sepatutnya abang yang harus
berterima kasih kerana Ain
sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang
sayangkan Ain. Abang juga
makhluk yang lemah, banyak kekurangan.
Abang harap Ain boleh terima
abang seadanya. Kita sama-sama lalui
hidup baru demi redhaNya."
`'Insya Allah abang....Ain sayangkan
abang. `'
`'Abang juga sayangkan Ain. Sayang
sepenuh hati abang.''
Dengan telekung yang masih tersarung,
aku tenggelam dalam pelukan
suamiku.
Hari-hari yang mendatang aku lalui
dengan penuh kesyukuran.
Suamiku, ternyata seorang yang cukup
penyayang dan penyabar. Sebagai
wanita aku tidak dapat lari daripada
rajuk dan tangis. Setiap kali
aku merajuk apabila dia pulang lewat,
dia dengan penuh mesra
memujukku. Membelaiku. Membuatku rasa
bersalah. Tak wajar kusambut
kepulangannya dengan wajah yang mencuka
dan dengan tangisan. Bukankah
aku ingin menjadi perhiasan yang
menyejukkan hati suami? Sedangkan
Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan
Rasulullah untuk berkhalwat di
Gua Hira'. Lalu, kucium tangannya,
kupohon ampun dan maaf.
Kuhadiahkan senyuman untuknya. Katanya
senyumku bila aku lepas
menangis, cantik! Ahhh....dia pandai
mengambil hatiku. Aku semakin
sayang padanya. Nampaknya hatiku masih
belum sepenuhnya terikat
dengan Allah. Lantaran itulah aku masih
belum mampu menyerahkan
seluruh kasih sayang, kesetiaan dan
ketaatan hanya untuk suami.
`' Isteri yang paling baik ialah apabila
kamu memandangnya, kamu
merasa senang, apabila kamu menyuruh,
dia taat dan apabila kamu
berpergian, dia menjaga maruahnya dan
hartamu . `'
Aku teringat akan potongan hadis itu.
Aku ingin merebut
gelaran isteri solehah. Aku ingin segala
yang menyenangkan buat
suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik
mungkin agar tidak tercalar
hatinya dengan perkataanku. Kuhiaskan
wajahku hanya untuk tatapannya
semata. Makan minumnya kujaga dengan
sempurna. Biarpun aku jua sibuk
lantaran aku juga berkerjaya. Pernah
sekali, aku mengalirkan air mata
lantaran aku terlalu penat menguruskan
rumah tangga apabila kembali
dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan.
Aku terasa seperti dia tidak
memahami kepenatanku sedangkan kami
sama-sama memerah keringat
mencari rezeki. Namun, aku teringat akan
kisah Siti Fatimah, puteri
Rasulullah yang menangis kerana terlalu
penat menguruskan rumah
tangga. Aku teringat akan besarnya
pahala seorang isteri yang
menyiapkan segala keperluan suaminya.
Hatiku menjadi sejuk sendiri. '
Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas
keranaMu. Aku ingin mengejar
redha suamiku demi untuk mengejar
redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya
Allah.'
`' Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.
`' Ungkapan itu tidak
lekang dari bibirnya. Membuatkan aku
terasa benar-benar dihargai.
Tidak sia-sia pengorbananku selama ini.
Betapa bahagianya menjadi
isteri yang solehah.
Kehidupan yang ku lalui benar-benar
bermakna, apatah lagi
dengan kehadiran 2 orang putera dan
seorang puteri. Kehadiran mereka
melengkapkan kebahagiaanku. Kami gembira
dan bersyukur kepada Allah
atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.
Namun, pada suatu hari, aku telah
dikejutkan dengan
permintaannya yang tidak terduga.
"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap
dengan Ain."
"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku
menatap wajahnya dengan
penuh kasih.
`' Ain isteri yang baik. Abang cukup
bahagia dengan Ain.
Abang bertuah punya Ain sebagai isteri,"
bicaranya terhenti setakat
itu.
Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap
persoalan. Takkan
hanya itu?
"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.
"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya
terhenti lagi. Menambah
kehairanan dan mencambahkan kerisauan di
hatiku. Entah apa yang ingin
diucapkannya.
"Ain......abang.....abang nak minta izin
Ain......untuk berkahwin
lagi," ujarnya perlahan namun sudah
cukup untuk membuat aku
tersentak. Seketika aku kehilangan kata.
"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku
seakan tidak percaya
mendengar permintaannya itu. Ku sangka
dia telah cukup bahagia
dengannku. Aku sangka aku telah
memberikan seluruh kegembiraan
padanya. Aku sangka hatinya telah
dipenuhi dengan limpahan kasih
sayangku seorang Rupanya aku silap.
Kasihku masih kurang. Hatinya
masih punya ruang untuk insan selain aku.
Tanpa bicara, dia mengangguk.
`' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya.
Aku tidak tahu dari
mana datang kekuatan untuk tidak
mengalirkan air mata. Tapi....hatiku...
hanya Allah yang tahu betapa azab dan
pedih hati ini.
`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'
Ya, aku kenal dengan insan yang bernama
Faizah itu. Juniorku
di universiti. Rakan satu jemaah.
Suamiku aktif dalam jemaah dan aku
tahu Faizah juga aktif berjemaah.
Orangnya aku kenali baik budi
pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur
kata dan ayu paras rupa.
Tidakku sangka, dalam diam suamiku
menaruh hati pada Faizah.
" A....Abang......Apa salah Ain abang?"
nada suaraku mula bergetar.
Aku cuba menahan air mataku daripada
gugur. Aku menatap wajah Abang
Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba
mencari masih adakah cintanya
untukku.
"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik.
Cukup baik. Abang
sayang pada Ain."
"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada
Faizah....bermakna.....
sayang abang tidak sepenuh hati untuk
Ain lagi."
"Ain.....sayang abang pada Ain tidak
berubah. Ain cinta pertama
abang. Abang rasa ini jalan terbaik.
Tugasan dalam jemaah memerlukan
abang banyak berurusan dengan
Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah
antara kami. Lagipun....abang lelaki
Ain. Abang berhak untuk berkahwin
lebih dari satu. `'
Bicara itu kurasakan amat tajam,
mencalar hatiku. Merobek
jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh
hatiku. Ketaatanku padanya
tidak pernah luntur. Kasih sayangku
padanya tidak pernah pudar. Aku
telah cuba memberikan layanan yang
terbaik untuknya. Tapi inikah
hadiahnya untukku? Sesungguhnya aku
tidak menolak hukum Tuhan. Aku
tahu dia berhak. Namun, alangkah
pedihnya hatiku ini mendengar ucapan
itu terbit dari bibirnya. Bibir insan
yang amat ku kasihi.
Malam itu, tidurku berendam air mata.
Dalam kesayuan, aku
memandang wajah Abang Harris penuh
kasih. Nyenyak sekali tidurnya.
Sesekali terdetik dalam hatiku,
bagaimana dia mampu melelapkan mata
semudah itu setelah hatiku ini
digurisnya dengan sembilu. Tidak
fahamkah dia derita hati ini? Tak
cukupkah selama ini pengorbananku
untuknya? Alangkah peritnya menahan
kepedihan ini. Alangkah pedihnya!
Selama seminggu, aku menjadi pendiam
apabila bersama
dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku
tidak mampu membohongi hatiku
sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri
aku laksanakan sebaik
mungkin, tapi aku merasakan segalanya
tawar. Aku melaksanakannya
tidak sepenuh hati. Oh Tuhan.....ampuni
daku. Aku sayang suamiku, tapi
aku terluka dengan permintaannya itu.
Apabila bertembung dua kehendak,
kehendak mana yang harus
dituruti. Kehendak diri sendiri atau
kehendak Dia ? Pastinya kehendak
Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti
ada hikmah Allah yang
tersembunyi di sebalik ujian yang Dia
turunkan buatku ini. Aku berasa
amat serba-salah berada dalam keadaan
demikian. Aku rindukan suasana
yang dulu. Riang bergurau senda dengan
suamiku. Kini, aku hanya
terhibur dengan keletah anak-anak.
Senyumku untuk Abang Harris telah
tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku
tidak mampu bertentang mata
dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.
Namun, Abang Harris masih seperti dulu.
Tidak jemu dia
memelukku setelah pulang dari kerja
walau sambutan hambar. Tidak jemu
dia mencuri pandang merenung wajahku
walau aku selalu melarikan
pandangan dari anak matanya. Tidak jemu
ucapan kasihnya untukku. Aku
keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang
Harris benar-benar tidak
berubah sayangnya padaku atau dia hanya
sekadar ingin mengambil
hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?
`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.'
Dalam kegelapan malam, aku
bangkit sujud menyembahNya, mohon
petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi
kembali matlamat hidupku. Untuk apa
segala pengorbananku selama ini
untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya
atau untuk mengejar redha
Allah ? Ya Allah, seandainya ujian ini
Engkau timpakan ke atasku
untuk menguji keimananku, aku rela Ya
Allah. Aku rela.
Biarlah. Bukan cinta manusia yang
kukejar. Aku hanya mengejar cinta
Allah. Cinta manusia hanya pemangkin.
Bukankah aku telah berazam, aku
inginkan segala yang menyenangkan buat
suamiku?
Dengan hati yang tercalar seguris luka,
aku mengizinkan Abang Harris
berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik
hati ini, aku sendiri yang
menyampaikan hasrat Abang Harris itu
kepada Faizah. Suamiku pada
mulanya agak terkejut apabila aku
menawarkan diri untuk merisik
Faizah.
"Ain?......Ain serius?"
"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada
Faizah. Ain lakukan ini semua
atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang
jangan risau...Ain jujur terhadap
abang. Ain tak akan khianati abang. Ain
hanya mahu lihat abang
bahagia," ujarku dengan senyuman tawar.
Aku masih perlu masa untuk
mengubat luka ini. Dan inilah satu
caranya. Ibarat menyapu ubat luka.
Pedih, tetapi cepat sembuhnya.
Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput
Faizah datang ke rumahku.
Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan
dia telah memberi keizinan
untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah
dengan segala senang hati
menerima undanganku. Sememangnya aku
bukanlah asing baginya. Malah
dia juga mesra dengan anak-anakku.
`'Izah......akak jemput Izah ke mari
sebab ada hal yang akak nak
cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup
kuat, aku memulakan bicara.
`'Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut
nada suaranya.
"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa
pada Faizah?"
"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada
kehairanan pada suaranya.
Sememangnya kami memanggil rakan satu
jemaah dengan panggilan Ustaz
dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.
"Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"
"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah
Kak Ain. Izah kenal Ustaz
Harris. Dia kan amat sayangkan akak.
Takkanlah dia nak sukakan saya
pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak
Ain ada dengar cerita dari
orang ke ni? `'
'Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa
cerita......." Aku terdiam
seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia
sukakan Izah dan nak ambil
Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan
amat berat hati, aku tuturkan
kalimah itu.
"Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar
di wajahnya. `'Apa yang Kak
Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal
sebegini Kak Ain, `' kata Faizah
seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku
sendiri yang menutur ayat
itu. Isteri kepada Muhammad Harris
sendiri merisik calon isteri kedua
suaminya.
"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah
sudi jadi saudara Kak Ain?"
ujarku lagi. Air mataku seolah ingin
mengalir tapi tetap aku tahan.
Faizah memandang tepat ke wajahku.
"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain.
Kak Ain pastikah
yang......Ustaz
Harris.....mahu... melamar saya?"
Dari nada suaranya, aku tahu Faizah
jelas tidak tahu apa-apa. Faizah
gadis yang baik. Aku yakin dia tidak
pernah menduga suamiku akan
membuat permintaan seperti ini. Lantas,
aku menceritakan kepada
Faizah akan hasrat suamiku. Demi untuk
memudahkan urusan jemaah,
untuk mengelakkan fitnah. Faizah
termenung mendengar penjelasanku.
"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana
Kak Ain boleh hadapi semuanya
ini dengan tabah. Saya kagum dengan
semangat Kak Ain. Saya minta maaf
kak. Saya tak tahu ini akan berlaku.
Saya tak pernah menyangka saya
menjadi punca hati Kak Ain terluka,"
ujarnya sebak. Matanya kulihat
berkaca-kaca.
"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak
Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan
terbaik. Dan akak tahu, dia
berhak dan mampu untuk melaksanakannya.
Mungkin ini ujian untuk
menguji keimanan Kak Ain."
"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air
mata, Faizah meraihku ke dalam
pelukannya. Aku juga tidak mampu menahan
sebak lagi. Air mataku
terhambur jua. Hati wanita. Biarpun
bukan dia yang menerima kepedihan
ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan
kelukaan yang ku alami.
Memang hanya wanita yang memahami hati
wanita yang lain.
"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila
tangisan kami telah reda.
`'Kak Ain....ini semua kejutan buat
Izah. Izah tak tahu nak cakap.
Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."
"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati
Kak Ain...Insya Allah tahulah
akak mendidiknya. Yang penting akak mahu
Abang Harris bahagia. Dan
akak sebenarnya gembira kerana Faizah
pilihannya. Bukannya gadis lain
yang akak tak tahu hati budinya. Insya
Allah Izah. Sepanjang Kak Ain
mengenali Abang Harris dan sepanjang
akak hidup sebumbung dengannya,
dia seorang yang baik, seorang suami
yang soleh, penyayang dan
penyabar. Selama ini akak gembira dengan
dia. Dia seorang calon yang
baik buat Izah. `'
"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan
hati akak. Tapi bagi Izah masa
dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu."
"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju,
Kak Ain akan cuba cakap pada
ibu bapa Izah."
Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku
berasa puas kerana telah
menyampaikan hasrat suamiku. `Ya
Allah.....inilah pengorbananku untuk
membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini
hanya semata-mata demi
redhaMu.'
Pada mulanya, keluarga Faizah agak
keberatan untuk membenarkan Faizah
menjadi isteri kedua Abang Harris.
Mereka khuatir Faizah akan terabai
dan bimbang jika dikata anak gadis
mereka merampas suami orang.
Namun, aku yakinkan mereka akan
kemampuan suamiku. Alhamdulillah,
keluarga Faizah juga adalah keluarga
yang menitikberatkan ajaran
agama. Akhirnya, majlis pertunangan
antara suamiku dan Faizah
diadakan jua.
"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar
suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh
pernikahannya dengan Faizah.
"Kenapa?"
"Abang rasa serba salah. Abang tahu
abang telah lukakan hati Ain.
Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan
abang. Ain terima segalanya demi
untuk abang. Abang terharu.
Abang....malu dengan Ain."
"Abang....syurga seorang isteri itu
terletak di bawah tapak kaki
suaminya. Redha abang pada Ain Insya
Allah, menjanjikan redha Allah
pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain
sayangkan abang. Ain mahu
abang gembira. Ain anggap ini semua
ujian Allah abang. `'
`'Ain....Insya Allah abang tak akan
sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya
isteri seperti Ain. Ain
adalah cinta abang selamanya. Abang
cintakan Ain."
"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab
abang akan jadi semakin berat.
Abang ada dua amanah yang perlu dijaga.
Ain harap abang dapat
laksanakan tanggungjawab abang sebaik
mungkin."
"Insya Allah abang akan cuba berlaku
seadilnya." Dengan lembut dia
mengucup dahiku. Masih hangat seperti
dulu. Aku tahu kasihnya padaku
tidak pernah luntur. Aku terasa air
jernih yang hangat mula membasahi
pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih
sayangkan aku seperti dulu
walaupun masanya bersamaku nanti akan
terbatas.
Pada hari pertama pernikahan mereka, aku
menjadi lemah. Tidak
bermaya. Aku tiada daya untuk
bergembira. Hari itu sememangnya amat
perit bagiku walau aku telah bersedia
untuk menghadapinya. Malam
pertama mereka disahkan sebagai suami
isteri adalah malam pertama aku
ditinggalkan sendirian menganyam sepi.
Aku sungguh sedih. Maha hebat
gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak
mampu lena walau sepicing
pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang
Harris dan Faizah. Pasti
mereka berdua bahagia menjadi pengantin
baru. Bahagia melayari
kehidupan bersama, sedangkan aku ?
Berendam air mata mengubat rasa
kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya
anak-anak. Merekalah teman
bermainku.
Seminggu selepas itu, barulah Abang
Harris pulang ke rumah. Aku
memelukknya seakan tidak mahu ku
lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa
seperti setahun. Alangkah rindunya hati
ini. Sekali lagi air mata ku
rembeskan tanpa dapat ditahan.
`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak
suka abang balik ke?" ujarnya
lembut.
"Ain rindu abang. Rindu sangat. `'
Tangisku makin menjadi-jadi. Aku
mengeratkan pelukanku. Dan dia juga
membalas dengan penuh kehangatan.
`'Abang pun rindu Ain. Abang rindu
senyuman Ain. Boleh Ain senyum
pada abang ? `' Lembut tangannya
memegang daguku dan mengangkat
wajahku.
`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang
masih rindu pada Ain ? `'
Aku menduga keikhlasan bicaranya.
'Teman baru tidak mungkin sama dengan
yang lama. Kan abang dah
kata, sayang abang pada Ain masih
seperti dulu. Tidak pernah berubah,
malah semakin sayang. Seminggu abang
berjauhan dari Ain, tentulah
abang rindu. Rindu pada senyuman Ain,
suara Ain, masakan Ain,
sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di
tempat lain, hanya pada Ain saja.
Senyumlah sayang, untuk abang. `'
Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku
yakin dengan kata-katanya. Aku
tahu sayangnya masih utuh buatku.
Kini, genap sebulan Faizah menjadi
maduku. Aku melayannya seperti
adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya
baik bertambah mesra. Apa
tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang
amat dekat di hati. Dan,
Faizah, menyedari dirinya adalah orang
baru dalam keluarga, sentiasa
berlapang dada menerima teguranku.
Katanya, aku lebih mengenali Abang
Harris dan dia tidak perlu bersusah
payah untuk cuba mengorek sendiri
apa yang disukai dan apa yang tidak
disukai oleh Abang Harris. Aku,
sebagai kakak, juga sentiasa berpesan
kepada Faizah supaya sentiasa
menghormati dan menjaga hati Abang
Harris. Aku bersyukur, Faizah
tidak pernah mengongkong suamiku.
Giliran kami dihormatinya.
Walaupun kini masa untuk aku bersama
dengan suamiku terbatas, tetapi
aku dapat merasakan kebahagiaan yang
semakin bertambah apabila kami
bersama. Benarlah, perpisahan sementara
menjadikan kami semakin
rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan
sebaiknya. Alhamdulillah,
suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan
Faizah. Aku tidak merasa
kurang daripada kasih sayangnya malah
aku merasakan sayangnya padaku
bertambah. Kepulangannya kini sentiasa
bersama sekurang-kurangnya
sekuntum mawar merah. Dia menjadi
semakin penyayang, semakin
romantik. Aku rasa aku harus berterima
kasih pada Faizah kerana kata
suamiku, Faizahlah yang selalu
mengingatkannya supaya jangan mensia-
siakan kasih sayangku padanya.
Memang aku tidak dapat menafikan,
adakalanya aku digigit rindu
apabila dia pulang untuk bersama-sama
dengan Faizah. Rindu itu, aku
ubati dengan zikrullah. Aku gunakan
kesempatan ketiadaannya di rumah
dengan menghabiskan masa bersama Kekasih
Yang Agung. Aku habiskan
masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya
sebanyak mungkin. Sedikit demi
sedikit kesedihan yang ku alami mula
pudar. Ia diganti dengan rasa
ketenangan. Aku tenang beribadat
kepadaNya. Terasa diriku ini lebih
hampir dengan Maha Pencipta.
Soal anak-anak, aku tidak mempunyai
masalah kerana sememangnya aku
mempunyai pembantu rumah setelah aku
melahirkan anak kedua. Cuma,
sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap
juga bertanya kemana abah mereka
pergi, tak pulang ke rumah. Aku
terangkan secara baik dengan mereka.
Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah.
Abah perlu temankan Makcik
Faizah seperti abah temankan mama.
Anak-anakku suka bila mengetahui
Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata
mereka, Makcik Izah baik.
Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari
orang lain. Ahhh...anak-anak kecil.
Apa yang kita terapkan itulah yang
mereka terima. Aku tidak pernah
menunjukkan riak kesedihan bila mereka
bertanya tentang Faizah.
Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.
Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku
menyayangi seorang perempuan
lain selain aku, memang aku rasa
cemburu, rasa terluka. Aku cemburu
mengingatkan belaian kasihnya itu
dilimpahkan kepada orang lain. Aku
terluka kerana di hatinya ada orang lain
yang menjadi penghuni.
Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan
Khadijah, insan yang telah
tiada. Inikan pula aku, manusia biasa.
Tapi..... ku kikis segala
perasaan itu. Cemburu itukan fitrah
wanita, tanda sayangkan suami.
Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan.
Kelak hati sendiri yang
merana. Bagiku, kasih dan redha suami
padaku itu yang penting, bukan
kasihnya pada orang lain. Selagi aku
tahu, kasihnya masih utuh
buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku
yakin, ketaatan, kesetiaan
dan kasih sayang yang tidak berbelah
bahagi kepadanya itulah kunci
kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku
terhenti dalam keadaan redhanya
padaku, supaya nanti Allah jua meredhai
aku. Kerana sabda Rasulullah
s.a.w
"Mana-mana wanita (isteri) yang
meninggal dunia dalam keadaan
suaminya meredhainya, maka ia akan masuk
ke dalam syurga." (Riwayat
at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).
Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya
itu. Saban hari aku
berperang dengan perasaan. Perasaan
sayang, luka, marah, geram,
cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku
sentiasa berperang antara
kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku
hanya Tuhan yang tahu.
KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk
menempuhi segala kepedihan itu.
KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan
kasih sayang, semoga keresahan
hati ini kan berkurangan.
Namun, jika aku punya pilihan, pastinya
aku tidak mahu bermadu.
Kerana ia sesungguhnya memeritkan.
Perlukan ketabahan dan kesabaran.
Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur
kerana suamiku tidak pernah
mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku
juga bersyukur kerana menjadi
intan terpilih untuk menerima ujian ini.
4 comments:
nura..sdeynye..sdeynye..nk nangis..huhu
shida: (senyum kat shida) *wink2*
berbakat cik nura kita ^_^
berbakat dlm copy n paste..^_~
Post a Comment