Thursday, August 13, 2009

lafaz yang tersimpan




Lafaz Yang Tersimpan


Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan

by:UNIC

Saya suka lirik ni..walaupun dah lama pun sebenarnya..dah lapuk agaknya.:P
Mula-mula dengar dulu, ingatkan lagu untuk kekasih..
Rupanya specific untuk mak dan ayah..

Teringat kisah kawan saya yang sebelum ni tak pernah lafaz 'sayang' atau ' i miss u' pada parents dia, tapi selepas dengar lagu ni, dia berusaha sedaya upaya nak lafazkan..berapa kali jugak cuba melafazkan di telefon, mula-mula tu mungkin rasa malu sebab tak biasa.. tapi dah lama-lama nanti, okey lah kan? ^_^

"alang-alang dah dok jauh ni, ambil peluang ni belajar lafazkan, nanti dah kat rumah, takut malu pulak.."

Alhamdulillah, respond mak dan ayah dia sangat positif! Dia cerita, suara mak dia tampak lebih gembira. Dan, mak dia pun balas balik " mak sayang kamu juga". Dia malu sangat masa tu, tapi takpelah, mak dia tak nampak pun wajah dia masa tu..
Kan bahagia tu....^_^

Untuk sahabat-sahabat kita pun, apa kurangnya kan?
Bagi saya, lagu ni applicable untuk semua.

Kadang-kadang,
Kawan kita tu tahu kita sayang dia,
cuma dia teringin sangat nak kita lafazkan..
tertunggu-tunggu...

Tak rugi ape-ape pun kita lafazkan..
Malah, dia akan rasa lebih dihargai..

p/s: al the best utk sahabat2 dan adik2 saya yang bakal exam final esok. Tak lupa pada batch saya..good luck! bak kata najwa, kita 'goreng' paper esok eh^_^ Gambatte neh!~~


"Hidup ini untuk memberi dan menghargai'







Wednesday, August 12, 2009

pelangi,muncullah kembali!

Bismillah walhamdulillah

Allah Maha Terbaik caturanNya. Tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya.
Doa yang dipohon tidak pernah diabaikan. Malah, Dia memberi jalan keluar atas setiap kesulitan dan keresahan hati seorang insan. Ya Allah..kerdilnya aku di sisiMu..

Artikel dari ust muntalaq, cukup membuatkan hati ini tersenyum kembali.
Aku sedar hakikat jalan yang telah dipilih..bukan senang, malah memerlukan 200% kecekalan hati dan semangat juang yang tinggi bagi menolak semua perkara-perkara kecil yang bisa saja menggoyahkan iman dan emosi.

Aku tahu..

Bukan aku sahaja pernah merasai susah ini, mesti ramai lagi daie dan daieyah yang telah lebih lama 'terjebak' dalam dakwah ini pernah merasai nya sebelum aku..Malah, lebih susah lagi.

Tak wajar andainya aku cepat benar mengeluh! sangat tak wajar andainya aku buat-buat 'sakit' sedangkan aku sepatutnya harus berusaha untuk terus 'sihat' demi Islam ini.



Salam,

Ketika setiap dari kita mula melangkah ke jalan ini, masing-masing akan menyangka ianya adalah jalan yang nyaman, tenteram, harmoni. Semua akan menyangka manusia lain akan menyanyangi mereka kerana mereka adalah orang-orang yang baik dan inginkan kebaikan. Peserta-pesertanya pula tentunya ramah, bersopan santun, murni dan begitu ukhuwwah… Hati-hati akan tentunya tenteram damai kerana ia adalah jalan yang diredhai Allah….

Tetapi….
Tiba-tiba pesertanya dikejutkan dgn kejutan yang tidak disangka-sangka. Angin bertiup kencang. Ombak mula berubah. Penumpangnya mula berubah. Ada yang mula mementingkan dirinya.. ada yang marah-marah dan ada yang bergaduh sesama sendiri.
Adakah kita akan lari? adakah kita akan terjun dan berpatah balik ke belakang berenang ke darat semula?
Tidak…
Suatu yang silap untuk berpatah balik kerana balik ke belakang ertinya membiarkan umat terus disambar jerung dan helang. Perjalanan perlu diteruskan.

Mungkin para si penyeru pada awal-awalnya terlalu indah menceritakan perjalanan ini. Mungkin si penyeru takut untuk menceritakan pada kita pada awal-awal dulu tentang tabiat perjalanan ini. Mereka hanya menceritakan kepada kita cerita-cerita indah dan menarik.

Kita mesti ingat, kita bekerja dgn manusia. Manusia yang tidak akan lepas dari silap dan salahnya. Manusia yang tidak akan dapat membunuh nafsu dan syahwatnya. Manusia yang tidak pernah syaitan merasai putus asa untuk mengganggunya.

Jika kita kenangi ini semua, kita tidak akan putus asa. Gugur dan futurnya kawan-kawan, beratnya tohmahan dan fitnah, bergejolaknya dalaman harakah islamiyyah, ber’politik’nya sesama pimpinan dakwah, panjang dan sengitnya pertarungan, semua ini tidak mengubah hati kita walaupun seurat rambut.

Jika fitnah ‘poliking’ atasan melemahkan semangat kita, tentunya sahabat di zaman Khalifah Ali dan Muawiyyah lebih layak untuk lari dari jihad dan dakwah.

Jika tekanan dan siksaan menakutkan kita, tidak pernahkah kita mendengar cerita Sumayyah dan SQ yang mati kerana mempertahankan aqidah mereka?

Jika panjangnya perjalanan usaha ini, tidak sabarkah kita sesabar Nabi Nuh as.?
Jalan kita akan menyaksikan itu semua. Kerana kita memerlukan organisasi dan keketuaan, maka kita harus membayar harga sakit penat dan remeh temeh organisasi demi untuk mencapai yang lebih besar…

Jika anda telah merasai bosan dan bengang dgn masalah-masalah ini semua, saya tentunya orang yang lebih dahulu untuk merasainya….
Wassalam.

jzkk ust.


Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah[jalan] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah [berjuanglah] dijalanNya, agar kamu beruntung
(al-maidah:5)

Friday, August 7, 2009

kuatkan hati dengan iman & akal


Bismillah walhamdulillah







Hawa nafsu didorong syaitan menzahirkan tingkah laku bertentangan hukum

UMUM mengetahui hati ibarat raja dalam diri manusia. Segala suruhan hati akan dipatuhi jasad. Jika hati kata mengantuk, mata dan seluruh anggota bersedia untuk tidur dan jika hati kata lapar, seluruh anggota tubuh bersedia mencari makanan. Itulah kuasa hati.

Benarlah sabda junjungan Nabi Muhammad SAW bermaksud:

“Di dalam tubuh manusia ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad, namun apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhan jasad. Itulah hati.”

Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, manakala hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat. Kadang-kadang berlaku di mana hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik. Keadaan ini dinamakan sebagai nifaq (munafik).

Satu persoalan yang timbul, adakah di sana wujudnya hati yang baik, namun tingkah lakunya tidak baik? Memang wujud keadaan sebegini. Contohnya, seorang ahli terapi sedang menjalankan sesi rawatan tiba-tiba melompat ke atas meja dan berperangai seperti monyet.

Lalu dia bertanya kepada pesakitnya: “Adakah saya ini monyet?” Pesakitnya menjawab: “Tidak!” “Kenapa?” tanya ahli terapi kembali. “Ia kerana tuan bertindak sedemikian dengan sesuatu tujuan.”

Contoh ini menjelaskan bahawa hati yang baik mungkin dizahirkan dalam tingkah laku sebaliknya kerana ada sebab musababnya, seperti faktor paksaan atau menjadi mangsa kepada keadaan. Sebab itu dalam proses perundangan, latar belakang seseorang pesalah harus diambil kira sebelum sebarang penghakiman diberikan.

Di sebalik kekuasaan hati, umum mungkin tidak menyedari hati ibarat raja boneka. Boneka bermaksud hati hanya sekadar mengeluarkan arahan, namun arahan itu disediakan dan ditentukan penasihatnya terdiri daripada hawa dan nafsu jahat dan akal di sebelah pihak yang baik.

Konflik antara baik dan jahat adalah bersifat universal di mana ia wujud dalam semua agama dan ideologi. Dalam hati manusia, kedua-dua pihak ini bersaing untuk menguasai hati kerana dengan menguasai hati, hakikatnya mereka menguasai keseluruhan diri manusia.

Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan. Hawa dan nafsu sebenarnya anugerah Allah (SWT) kepada manusia. Tanpa nafsu makan, manusia akan mati kelaparan dan tanpa nafsu farj, manusia akhirnya akan pupus.

Secara fitrahnya, kedua-dua unsur itu dijadikan Allah (SWT) untuk tunduk patuh kepada akal. Punca masalahnya ialah iblis yang bertindak mempengaruhi dan memanipulasi kedua-duanya demi kepentingan jahatnya.

Imam Al-Ghazali mengibaratkan hawa dan nafsu seperti pekerja yang sekali-sekala mendongak kepala melihat kepada tuannya. Apabila mendapati tuannya lalai, maka mereka bertindak menguasainya dan memperhambakannya. Maka jadilah akal manusia itu diperhambakan hawa nafsunya.

Berbalik kepada konflik tadi, cuba bayangkan hati ibarat satu bulatan. Pihak yang baik terzahir daripada tengah hati dalam bentuk cahaya yang menyinari keseluruhan hati. Cahaya itu disebut sebagai cahaya iman. Lebih kuat kuasa di pihak baik, maka makin kuatlah cahaya sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu.

Sementara pihak yang jahat pula menyerang daripada luar hati dalam bentuk kegelapan menghitam. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan apabila seseorang melakukan dosa, satu titik hitam akan terbentuk di hatinya.

Rasanya pada ketika ini berapa banyak dosa yang kita sudah lakukan? Dengan senjata kegelapan tadi, hawa dan nafsu cuba menutupi lapisan hati supaya cahaya iman tidak dapat keluar. Bagi muslim yang peka dengan keadaan ini, mereka akan mengambil langkah memperkuatkan kembali cahaya iman tadi dengan menambah ilmu serta beramal.

Fenomena lemah dan kuatnya pancaran cahaya tadi menjelaskan keadaan di mana bertambah dan berkurangnya iman kita. Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah (SWT).

Namun bagi hawa dan nafsu, sekali menguasai hati, mereka akan terus menguasainya. Mereka tidak akan memberi ruang kepada cahaya iman untuk kembali kuat. Segala usaha dilakukan dengan pertolongan syaitan melemahkan cahaya tadi seterusnya melenyapkan terus daripada hati.

Jika ini berlaku, maka malanglah bagi empunya hati itu kerana tiada yang lain dirasainya melainkan segalanya jahat belaka. Orang dengan ikhlas memberi nasihat, dianggap dengki dengannya. Hatinya ditutup Allah (SWT) seperti firman-Nya bermaksud:

“Allah (SWT) menutup hati-hati mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 7)

Ibarat tentera yang berjaya menawan kawasan pihak lawan, maka semua pos kawalan akan diambil alih, begitu jugalah apabila pihak jahat itu menguasai hati, mereka akan mengisi segenap ruang yang ada dengan bala tentera seperti hasad dengki, sombong, kedekut, malas, buruk sangka, dan segala macam sifat negatif.

Natijah daripada konflik rohani yang tidak bernoktah ini akan tampak pada tingkah laku kita. Jika pihak yang baik menang, hati akan menjadi baik lantaran memiliki penasihat yang baik, dan hati baik menzahirkan tingkah laku baik.

Demikian pula jika hati dikuasai pihak jahat, hati akan menjadi jahat, maka natijahnya adalah tingkah laku yang jahat juga. Hasil daripada konflik ini jugalah yang menentukan jenis nafsu yang ada pada kita sama ada nafsu tenang, nafsu mendesak kepada kejahatan dan nafsu yang menyalahkan diri.

Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah dialami bila keadaan terjadi sebaliknya di mana hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

Namun, bagi kebanyakan Muslim, keadaan hati mereka berubah-ubah. Kadang-kadang dikuasai iman dan ada kalanya dikuasai nafsu. Apabila hati dikuasai nafsu, kita pun melakukan dosa walaupun kita menyedarinya.

Apabila hati dikuasai iman semula, maka timbullah rasa bersalah. Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal. Jangan kita biarkan ia diperkudakan nafsu. Kuasa dan pilihan di tangan kita dan ingatlah kita yang menentukan hala tuju perjalanan sama ada diredai Allah (SWT) atau sebaliknya.

INTIPATI

- Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat, manakala hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik dinamakan munafiq.

- Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan.

- Lebih kuat kuasa di pihak baik, sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu. Sementara pihak yang jahat pula membentuk kegelapan menghitam.

- Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah (SWT).

- Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah apabila hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

- Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal dan tidak membiarkan ia diperkudakan nafsu.

yuk! kuatkan benteng hati, jernihkan akal kita ^_^

sumber: mutiara hati