Sunday, October 4, 2009

unta yang mabuk cinta


Bismillah walhamdulillah

Cinta

Salah satu dari kurniaan Allah kepada manusia. Ruang lingkup cinta terlalu luas namun manusia selalu mengecilkannya. Cinta makhluk pada Yang Esa adalah cinta yang paling agung di antara segala cinta. Kerna itulah para syuhada' menentang musuh dengan penuh keberanian tanpa bimbang terkorban dalam perjuangan kerana cinta pada Allah.

Cinta Rasulullah pada umatnya. Dilihat jelas sewaktu peristiwa baginda dibaling dengan batu oleh orang-orang Taif. Sewaktu Malaikat Jibril bertanya baginda apakah baginda ingin menurunkan bala pada penduduk Taif,baginda menyatakan bahawa mereka belum mengenal kebenaran malah baginda mendoakan agar hati mereka terbuka untuk menerima syiar Islam.

Begitu juga cinta para sahabat yang amat mendalam pada Rasulullah sehinggakan sanggup berada di samping baginda sekalipun nyawa mereka terancam.

Dalam hubungan sesama manusia, cinta juga mainkan peranan. Cinta seorang ibu pada anaknya membawa ke syurga. Cinta seorang ayah sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan anak dan isteri.

Cinta suami isteri pula jelas tergambar dalam Quran,
"dan diantara kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri2 dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram padanya, dan dijadikannya antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda2 bagi kaum yang berfikir"
[ar-rum:21]

Namun, apa yang terjadi sekarang lain pula ceritanya.
Hubungan yang tidak halal, di luar lingkup perkahwinan. Cinta terlarang yang melanggar hukum Allah. Dalam menuju kedewasaan, meminati kaum yang berlawanan jenis adalah lumrah. Namun perasaan itu haruslah dijaga.

Malangnya, ramai yang terbawa-bawa dengan perasaan cinta ini hingga sanggup berkorban segalanya. Bak kata orang tua-tua, 'nasi lemak buah bidara, sayang selasih kuturutkan, buang emak, buang saudara, kerana kekasih kuturutkan...'

Tenggelam dalam memburu cinta

Manusia sering mengorbankan cinta pada Yang Satu itu semata-mata terlalu cinta dalam memburu cinta-cinta murahan. Tenggelam dalam cinta harta, pangkat, kemasyhuran,hidup senang lenang, cinta makanan, pakaian cantik, cinta pada perempuan atau lelaki.

Bagaimana cinta itu boleh memberi ketenangan pada hati?

"rahamaa u bainahum" [al fath:29]
mereka itu mempunyai perasaan kasih sayang antara mereka.

nikmat kemanisan iman, ketenangan hati yang dicetuskan oleh rasa cinta pada Allah, membuatkan seseorang itu cinta pada sesama makhlukNYa..

Imam Ghazali berkata,
"apabila seseorang itu mencintai seorang lain kerana Allah, maka hendaklah dia membencinya juga kerana Allah. Sebab punca yang menyebabkan anda mencintai seorang manusia itu mestilah kerana ia amat taat kepada Allah, ataupun kerana ia dicintai di sisi Allah disebabkan amalan2nya yang baik. Tetapi, apabila orang itu bermaksiat kepada Allah, tentulah anda akan membencinya kerana ia menderhaka kepada Allah dan terkutuk disisiNya"

Tegasnya,cinta pada Allah tidak mungkin memutuskan cinta sesama makhlukNya. Bahkan memurnikan dan menyuburkan lagi cinta itu. Kerna ia tidak lagi bersalut kepentingan diri bila ia benar2 berlandaskan kepatuhan pada kehendak dan aturan Ilahi.


Cinta itu adalah pengorbanan

Orang yang cintakan kekasihnya sanggup tanggung susah payah, sanggup buat apa sahaja dan mengorbankan miliknya untuk orang yang dicintainya. Ada yang sanggup korbankan wang ringgit [topup, hadiah,etc],korbankan masa rehatnya di hujung minggu, korbankan masa rehat setiap malam hanya untuk memupuk rasa kasih pada kekasihnya.

Jarang sekali..
bila cinta pada Allah.

Sejauh mana tingginya rasa cinta itu dapat dilihat pada pengorbanan si hamba demi meluahkan perasaan cintanya pada Pencipta?



Mabuk Cinta?

Orang yang mabuk cinta pada Allah akan sentiasa mengintai peluang untuk meluah dan membuktikan kecintaan mereka padaNya.

"katakanlah [Muhammad], kalau kamu mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu" [ali imran:31]

Dalam usaha membuktikan cinta ini, si hamba akan bersusah payah, malah sanggup berkorban dan terkorban dalam mengikuti perjalanan hidup Nabi SAW.

Suami akan sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk membantu tugas2 isteri di rumah, berbincang dan memberinya bimbingan. Sanggup keluarkan wang untuk sekolah anak2 dan memastikan mereka mendapat bimbingan agama yang sempurna. Semuanya dilakukan demi memenuhi tanggungan sebagai ketua keluarga di samping tekun melakukan solat sunat, tahajud, baca Al-Quran, puasa sunat dan lain-lain.

Isteri pula sanggup keluarkan peluh demi rumahtangga, mengorbankan waktu rehat melayan suami dan anak2, di samping bersungguh-sungguh menjaga solat, baca Al-Quran, bersedekah dan ibadah2 lain demi mendapatkan redha dan cinta Allah.

Mungkin pengorbanan itu tidak sehebat pengorbanan Siti Hajar yang sanggup ditinggalkan di tengah padang pasir yang kering kontang bersama anak kecil yang masih menyusu semata-mata akur perintah Allah yang disampaikan pada suaminya Ibrahim. Tapi dia tetap ada cita-cita untuk membuktikan cintanya pada Allah.

Bagi kita, mungkin boleh mengorbankan sedikit waktu tidur kita untuk mengisi waktu dengan Allah. Waktu orang lain asyik menonton cerita di TV, kita membuka lembaran Kitab suci. Waktu orang lain meminta dibelikan barang perhiasan, kita meminta dileburkan sedikit barang kemas yang ada untuk disedekahkan wangnya pada orang yang lebih memerlukan.

Walaupun terkorban [hilang sedikit tenaga, hilang sebahagian harta, dan sebagainya] pengorbanan itu menghasilkan kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Kerna terlalu cinta pada Allah, seseorang itu akan tidak sedar ada nikmat dunia ini yang terkorban dek asyik bercinta denganNya.

Seluruh jadual dan rutin hidupnya digerakkan dengan rasa cinta. Demi memenuhi kehendak Allah. Lalu rutin dan gaya hidup dengan sendirinya akan berbeza dengan orang biasa . Alangkah bahagianya jika kita salah seorang dari mereka!

Detik ini..
cuba tanya pada diri sendiri,
jika kita kata bahawa kita mencintai Allah,

apa yang telah kita lakukan untukNya.

apa bukti kita cinta pada Dia.

Diumpamakan seekor unta yang sedang mabuk cinta. Unta itu tidak mahu makan selama 40 hari.Bila disuruh bawa barang yang jumlahnya melebihi yang biasa dibawanya, pasti unta itu membawanya.

Kenapa?

Kerana yang terlintas dalam hatinya hanya lah rasa untuk mengingati Kekasihnya sahaja.

Nah! sedangkan seekor unta sahaja dapat melakukan sedemikian, mengapa kita tidak?

Apakah kita sudah tidak makan dan minum hanya kerana Allah?

Apakah kita selalu mengingati Allah setiap saat, dimana pun kita berada dan apa pun yang kita lakukan?

Dan apakah kita sudah mampu dan mahu menanggung beban dan cubaan yang berat demi Allah semata-mata?

jika belum, mengapa tidak ada keinginan untuk melakukannya?

Bersama kita muhasabah, ia juga peringatan untuk penulis sendiri.
Berjuanglah sehabis daya demi merebut cintaNya..

Ayuh!!





1 comment:

maisarah said...

Ayuh!!

Jazakillah wak!